Thursday 18 August 2011

Belasah suami aniaya isteri

Sampat Pal Devi

Bak kata pepatah, ‘tangan yang menghayun buaian itu boleh mengoncang dunia”. Itulah istimewanya wanita. Nampak sahaja dari luaran lembut tetapi apabila keadaan mendesak, mereka akan menjadi segarang-garang dan seberani manusia. Jangan sesekali memandang rendah kaum wanita.

Inilah yang dilakukan oleh wanita yang bernama Sampat Pal Devi di India. Dengan perasaan marah dengan pemerintahan yang mengamalkan rasuah dan simpati melihat golongan wanita yang sering menjadi mangsa kekejaman suami, Sampat mengumpul sekumpulan wanita untuk menjadi ahli sebuah kumpulan yang dinamakannya  “Geng Gulabi”.

Sampat nekad selepas melihat betapa pemerintahan yang kurop menjejaskan kehidupan masyarakat India. Apabila amalan rasuah sudah merebak sehingga ke badan kerajaan yang penting seperti badan kepolisan dan badan kehakiman, tiada lagi harapan bagi golongan yang ditindas mendapatkan keadilaan. Kalau kita menonton filem India atau Hindustan , sudah pasti kita tahu kerana hampir kesemua filem ada menyelitkan unsur  rasuah dan penindasan kaum wanita.  Ini adalah kerana India memaparkan filem berkisarkan kehidupan sebenar masyarakat india yang mengaitkan kes rasuah, ketidakadilan, penindasan kaum miskin dan sebagainya.


Dek kerana keadaan yang begitu menghampakan, Sampat memutuskan untuk membuat perundangan di tangan geng mereka sendiri. Dengan pengenalan sari merah jambu dan bersenjatakan tongkat buluh, kumpulan ini memperjuangkan nasib kaum wanita dan keadilan untuk golongan miskin yang selama ini ditidakkan hak mereka.

“Di sini tiada yang datang untuk membantu kami jika kami memerlukan bantuan. Pejabat dan polis mengamalkan rasuah dan cukup anti dengan orang miskin. Jadi kami terpaksa mengambil tindakan sendiri,” kata Sampat kepada bbc.co.uk.
Keberanian Sampat menubuhkan Geng Gulabi bagi menentang pihak berkuasa mendapat perhatian dunia. Malah tanpa disedari, Sampat menjadi popular sebagai pejuang hak wanita.

Menyingkap latar belakangnya, Sampat yang merupakan anak seorang pengembala, dilahirkan di India pada tahun 1960. Dia tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah tetapi oleh belajar dan membaca selepas belajar sendiri. Kebanyakan masyarakat India  yang miskin tidak menerima pendidikan sekolah.  Sebagaimana nasib wanita tertindas yang lain di India, Sampat dinikahkan secara paksa pada usia 12 tahun lantaran kemiskinan keluarganya. Dalam masa 8 tahun Sampat memiliki 5 orang anak. Sampat mungkin nasib abik kerana tidak mengalami penderaan daripada suaminya. Namun satu insiden menyebabkan Sampat sedar bahawa kaum wanita memerlukan sebuah kumpulan bagi membela nasib mereka sendiri.


Kisahnya bermula di desanya iaitu Uttar Pradesh apabila Sampat menyaksikan seorang suami memukul isterinya tanpa belas kasihan. Simpati dengan nasib wanita berkenaan, Sampat merayu kepada si suami agar menghentikan tindakannya itu namun permintaannya tidak diendahkan. Geram dan marah dengan kekejaman lelaki itu, Sampat mengumpul sekumpulan wanita dan keesokan harinya dengan bersenjatakan tongkat buluh, mereka membelasah lelaki tersebut sebagaimana dia membelasah isterinya.
Di situlah permulaannya Geng Gulabi  atau dalam bahasa India yang bermaksud “merah jambu kini terbentuk”. Keberanian Geng Gulabi ini menarik ramai wanita untuk menyertainya dan pada masa yang sama membela nasib mereka sendiri. Kini Geng Gulabi dianggotai lebih 2 ribu wanita miskin dan tertindas.


Untuk menjadikan mereka lebih bersedia, mereka belajar seni mempertahankan diri dengan tongkat secara rutin. Kewujudan geng ini menarik banyak pihak, terutamanya parti politik untuk membiayai dan menaja kumpulan tersebut. Bagaimanapun, Sampat nekad enggan menerima sebarang bantuan kerana katanya golongan tersebut sebenarnya bukan meminta balasan dan mempunyai niat tertentu di sebalik huluran bantuan mereka.
2 tahun selepas penubuhan Geng Gulabi, ternyata Geng Gulabi  berjaya dalam misi mereka. Para suami akan berfikir 2 kali untuk memukul isteri atau mengabaikan mereka kerana bimbang keesokan ahrinya mereka pula akan dibelasah oleh geng wanita yang bersari merah jambu ini.

Selepas berjaya dalam misinya, Geng Gulabi memperluaskan lagi fungsinya dengan membongkar amalan rasuah dalam pengedaran gandum kepada rakyat miskin. Mereka juga akan menghalang penikahan bawah umur dan menggalakkan anak-anak perempuan untuk bersekolah. Jika sebelum ini penduduk India tidak menghantar anak perempuan ke sekolah, sekarang ini mereka terpaksa berbuat demikian. Jika tidak, mereka akan didatangi Geng Gulabi yang mungkin akan berceramah atau kalau keadaan lebih teruk, mereka akan dibelasah dengan tongkat buluh.

Bagi Sampat, hanya pendidikan yang dapat mengubah nasib kaum wanita. Katanya, kaum wanita desa perlu belajar dan berdikari untuk mengatasi banyak masalah kehidupan.Sampat juga tidak pernah peduli dengan pelbagai tuntutan yang dilayangkan kepadanya. Malah dia semakin gigih menambah ahli dari seluruh pelusuk India bagi mengukuhkan lagi Geng Gulabi.

Jika dahulu lelaki tidak gentar dengan suaranya tetapi sekarang apabila disebut Sampat Pal Devi , lelaki manapun akan kecut perut, terutamanya jika sudah melakukan kesalahan yang termasuk dalam senarai kesalahan perlu dibelasah oleh Geng Gulabi.      


sumber dipetik dari utusan sarawak 

Ulasan Lat'z :

Kalau wanita di Malaysia mengikuti jejak langkah Sampat, pasti berkurangan kes penderaan rumahtangga. Bangga dengan tindakan berani Sampat yang membela nasib kaun wanita dan golongan miskin.

No comments:

Penaja Blog